Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera,
Karnival Inovasi Pendidikan MADANI 2025 yang dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan Menteri Besar Selangor (Incorporation) telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Canselor, Universiti Selangor, Bestari Jaya. Penganjuran karnival ini bertujuan menyuburkan budaya inovasi dalam kalangan warga pendidikan melalui aktiviti yang mampu mencetus kreativiti, memperluas pemikiran serta menyokong usaha reformasi pendidikan berteraskan tema “Memacu Reformasi Pendidikan Melalui Inovasi.”
Seramai 550 peserta menghadiri karnival ini, meliputi pegawai PPD, guru-guru daripada pelbagai unit, murid sekolah rendah dan menengah, para pempamer, pembentang kajian tindakan serta rakan komuniti yang meneroka pendekatan STEM dan TVET seiring Revolusi Industri 4.0. UNISEL Kampus Bestari Jaya turut menjadi lokasi utama karnival sebagai tuan rumah.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Haji Mohammad Faisal bin Ismail, Setiausaha Politik Menteri Kesihatan Malaysia yang hadir mewakili Menteri Kesihatan. Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa karnival ini merupakan platform yang menghimpunkan idea, kepakaran dan amalan terbaik warga pendidik dan pelajar, sekali gus mengukuhkan budaya inovasi dalam sistem pendidikan negara. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PPD Kuala Selangor atas usaha menjalin kerjasama bersama UNISEL, komuniti dan rakan strategik, sambil menekankan bahawa kolaborasi sebegini penting untuk membentuk ekosistem Pendidikan MADANI yang inklusif, holistik dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
Sebagai simbol jalinan kerjasama, turut diadakan Majlis Menandatangani Sijil Jalinan Strategik antara UNISEL Bestari Jaya, yang diwakili oleh Pn. Hjh. Rokmaa Binti Hj. Mat (Pendaftar), dan PPD Kuala Selangor yang diwakili Puan Sarimah binti Abdul Rahim. Majlis ini turut disaksikan oleh Tuan Haji Mohammad Faisal bin Ismail sebagai wakil Menteri Kesihatan Malaysia.
Karnival turut menampilkan pelbagai pertandingan, persembahan, pameran dan aktiviti inovasi sepanjang hari. Sebanyak 9 pertandingan dan perkongsian serta 41 pameran inovasi pendidikan disertai oleh sekolah-sekolah sekitar Kuala Selangor. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk K-KAMA’25, Perkongsian Amalan Terbaik Pembelajaran dalam Pendidikan, Pertandingan SAM Labs, Inovasi SAM Labs, Pertandingan Dron, Robotik Line Tracer, Robot Soccer, Pertandingan Khat dan Pameran Inovasi & Pendidikan. Semua penyertaan ini menonjolkan kreativiti pelajar dan inovasi guru bagi menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21.
Kehadiran Prof. Madya Dr. Hamdan bin Dato’ Mohd Salleh, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor UNISEL, serta Puan Sarimah binti Abdul Rahim, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran PPD Kuala Selangor turut menyerikan karnival. Pengurusan tertinggi UNISEL, guru-guru dan peserta dari sekolah dalam PPD Kuala Selangor turut memeriahkan acara.
Secara keseluruhannya, Karnival Inovasi Pendidikan MADANI 2025 membuktikan komitmen bersama dalam memperkasa inovasi dan kreativiti sebagai elemen penting reformasi pendidikan negara. Program ini juga menggalakkan penglibatan masyarakat dan komuniti setempat untuk bersama-sama mengimarahkan karnival yang sedang berlangsung.






















