FCVAC UNISEL JAYAKAN PROGRAM MOTIVASI TRANSFORMASI DIRI KE ARAH KECEMERLANGAN

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera,

Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC), Universiti Selangor (UNISEL) telah menganjurkan Program Motivasi Transformasi Diri ke Arah Kecemerlangan dengan kerjasama SMK Tuanku Abdul Rahman, Batu Arang, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan pembangunan sahsiah dan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar sekolah.

Program yang disertai oleh 120 orang murid Tingkatan 5 ini bertujuan memberi suntikan motivasi serta membimbing para pelajar dalam membina keyakinan diri, mengamalkan teknik pembelajaran yang lebih berkesan dan merancang hala tuju pendidikan selepas menduduki peperiksaan SPM.

Antara pengisian utama program termasuk sesi Teknik Keyakinan Diri, Strategi Belajar Berkesan, Aktiviti Energizer serta perkongsian mengenai Hala Tuju Selepas SPM. Kesemua aktiviti dirangka bagi meningkatkan motivasi, semangat dan kesediaan pelajar untuk menghadapi cabaran akademik serta merancang masa depan dengan lebih yakin.

Sesi motivasi telah disampaikan oleh Dr. Saibah Siregar dari UNISEL yang berjaya menyampaikan perkongsian secara inspiratif, interaktif dan penuh semangat. Turut hadir mewakili FCVAC ialah Puan Khairil Bariyyah Hassan dan Puan Rahayu Handan, yang bersama-sama menjayakan program serta memberikan sokongan kepada para peserta.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen FCVAC UNISEL dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui jalinan kerjasama strategik bersama institusi pendidikan. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik, membina sahsiah yang unggul dan melakar kejayaan pada masa hadapan.

 

 

 

TAKLIMAT PELAJAR BAHARU PRA SISWAZAH SEMESTER OGOS 2026

FCVAC UNISEL mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu Pra Siswazah Semester Ogos 2026. Semoga perjalanan akademik di UNISEL menjadi pengalaman bermakna dalam membina ilmu, kemahiran, kreativiti dan jati diri ke arah kecemerlangan masa hadapan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA KE-69

🇲🇾 Selamat Menyambut Hari Merdeka Ke-69! FCVAC UNISEL mengajak seluruh warga universiti dan rakyat Malaysia bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dengan menghargai perjuangan generasi terdahulu, memperkukuh perpaduan serta menyemarakkan semangat patriotisme demi Malaysia yang terus maju, harmoni dan sejahtera. Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.