TRANSFORMASI PENDIDIKAN BERASASKAN AI DI UNISEL: MEMBINA BAKAT DIGITAL MASA HADAPAN

Transformasi Pendidikan Berasaskan AI di UNISEL: Membina Bakat Digital Masa Hadapan

Universiti Selangor (UNISEL) terus memperkukuhkan agenda pendidikan masa hadapan menerusi pelbagai inisiatif strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI), termasuk penerapan kompetensi AI Gunaan secara menyeluruh kepada semua pelajar.

Selaras dengan keperluan transformasi digital negara serta perkembangan teknologi yang semakin pesat, UNISEL komited melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik serta karakter budiman, malah mampu mengadaptasi teknologi AI dalam dunia pekerjaan dan kehidupan seharian.

Menurut Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC), Profesor Madya Ts. Dr. Wan Azlan Wan Hassan, agenda AI di universiti bukan sekadar memenuhi keperluan akademik semata-mata, tetapi merangkumi usaha menyeluruh ke arah membentuk ekosistem ilmu yang berimpak tinggi dan relevan dengan keperluan semasa.

Antara usaha yang dilaksanakan termasuk pengembangan program akademik berasaskan AI, antaranya program berkaitan AI Gunaan, Teknologi Kejuruteraan AI dan Kejuruteraan AI. Program-program ini dirangka bagi menyediakan laluan pendidikan yang lebih relevan kepada generasi muda yang ingin membina kerjaya dalam bidang teknologi masa hadapan.

Pendekatan UNISEL turut menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui Work-Based Learning (WBL). Melalui pendekatan ini, pelajar berpeluang menjalani pengalaman pembelajaran secara langsung bersama industri melalui latihan, projek sebenar dan pendedahan kepada persekitaran kerja profesional.

Kerjasama dengan pelbagai sektor industri turut membuka peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman sebenar dalam bidang teknologi digital, pengurusan, media, automasi, perkhidmatan, data analitik dan pembangunan sistem pintar.

Dalam masa yang sama, UNISEL memperluaskan akses pendidikan melalui Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL), sekali gus memberi peluang kepada golongan profesional, pekerja industri dan masyarakat umum untuk melanjutkan pengajian tanpa batasan lokasi dan masa.

Pendekatan pembelajaran digital yang lebih interaktif, mesra pengguna dan berorientasikan pengalaman pembelajaran kendiri membolehkan pelajar mengikuti pengajian secara lebih fleksibel dan efektif.

Selain aspek akademik, UNISEL turut memberi perhatian terhadap bidang penyelidikan AI sebagai antara pemacu utama pembangunan ilmu dan inovasi universiti. Penyelidikan dilaksanakan merentasi pelbagai bidang termasuk komputeran, kejuruteraan, pendidikan, pengurusan, sains sosial dan sains hayat.

Pendekatan penyelidikan tindakan (action research) turut dilaksanakan bagi mengenal pasti penggunaan AI dalam kalangan pelajar serta menyelesaikan isu sebenar yang dihadapi oleh universiti, industri dan komuniti.

UNISEL juga memperkukuhkan budaya penyelidikan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, industri dan komuniti. Fokus penyelidikan merangkumi bidang seperti automasi pintar, analitik data, pendidikan digital, sistem sokongan keputusan, transformasi organisasi dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan.

Dalam usaha membudayakan penggunaan AI dalam kalangan seluruh warga universiti, UNISEL turut memperkenalkan inisiatif “AI untuk Semua”. Inisiatif ini memberi peluang kepada warga universiti untuk memahami serta menggunakan teknologi AI secara kreatif, bertanggungjawab dan beretika dalam pelbagai bidang.

Pendekatan pembelajaran berasaskan projek turut diterapkan supaya pelajar bukan sahaja memahami konsep asas AI, tetapi mampu mengaplikasikan teknologi tersebut dalam menyelesaikan masalah sebenar dalam bidang masing-masing seperti perniagaan, komunikasi, pendidikan, seni kreatif dan pengurusan.

Pada masa yang sama, UNISEL memberi perhatian serius terhadap pembangunan kompetensi tenaga pengajar melalui latihan, program pembangunan profesional serta penerokaan penjalinan profesional bersama rakan industri antarabangsa seperti Google.

Langkah ini penting bagi memastikan para pensyarah sentiasa bersedia dengan perkembangan teknologi semasa dan mampu menyampaikan pengalaman pembelajaran yang berkualiti kepada pelajar.

Keseluruhannya, inisiatif AI yang digerakkan oleh UNISEL mencerminkan komitmen universiti dalam membentuk ekosistem pendidikan yang moden, progresif dan berorientasikan masa hadapan.

Dengan menggabungkan pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi serta kerjasama strategik bersama industri, UNISEL optimis untuk terus melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu memacu transformasi digital dan pembangunan negara pada masa hadapan.

𝐔𝐍𝐈𝐒𝐄𝐋 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐕𝐊𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐔𝐊𝐔𝐇 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐀𝐊𝐀𝐃𝐄𝐌𝐈𝐊 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐁𝐈𝐃𝐀𝐍𝐆 𝐀𝐍𝐈𝐌𝐀𝐒𝐈 𝟑𝐃 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐔𝐋𝐓𝐈𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀

CampusFit AI, inovasi pelajar Jabatan Pengkomputeran, FCVAC, UNISEL mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa apabila meraih Excellence Award (ASEAN Track) dalam 2026 ASEAN-Oriented “AI + Sports” Application Scenario Competition di Nanning, China. Kejayaan ini menyerlahkan kreativiti dan keupayaan pelajar UNISEL dalam menghasilkan inovasi AI yang berpotensi memberi impak kepada bidang sukan.

CAMPUSFIT AI CIPTA NAMA DI PERSADA ANTARABANGSA, RAIH EXCELLENCE AWARD DI CHINA

CampusFit AI, inovasi pelajar Jabatan Pengkomputeran, FCVAC, UNISEL mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa apabila meraih Excellence Award (ASEAN Track) dalam 2026 ASEAN-Oriented “AI + Sports” Application Scenario Competition di Nanning, China. Kejayaan ini menyerlahkan kreativiti dan keupayaan pelajar UNISEL dalam menghasilkan inovasi AI yang berpotensi memberi impak kepada bidang sukan.