MISI DETEKTIF MATH 2026

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera,

Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC), Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Jabatan Pengkomputeran telah menjalinkan kolaborasi bersama ISM Matematik & Statistik dan SMK Kuala Selangor dalam menjayakan sebuah program pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) pada 25 Jun 2026 (Khamis).

Program yang berlangsung dalam dua sesi ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 247 orang murid, melibatkan 123 orang murid bagi sesi pertama (1.30 petang – 3.00 petang) dan 124 orang murid bagi sesi kedua (3.30 petang – 5.00 petang).

Melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan, para peserta diberi peluang untuk menjadi “Detektif Matematik”, di mana mereka perlu menyelesaikan pelbagai cabaran algebra dan logik secara kreatif, kritis serta kolaboratif. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap konsep matematik, malah turut memupuk kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

Program ini dikendalikan oleh barisan tenaga penggerak yang berpengalaman dan komited, diketuai oleh Dr. Saibah Siregar selaku penceramah, bersama Puan Khairil Bariyyah (Mis KB), serta dua orang pelajar ISM Matematik & Statistik iaitu Putri Audi (Kak Audi) dan Ammar Mustaqim (Abang Ammar) yang turut membantu mengendalikan aktiviti sepanjang program berlangsung.

FCVAC UNISEL turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof. Madya Ts. Dr. Wan Azlan bin Wan Hassan @ Wan Harun, Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC), atas sokongan dan galakan berterusan dalam menjayakan program yang memberi impak positif kepada komuniti pendidikan.

Kolaborasi ini membuktikan komitmen UNISEL dalam memperkasakan pendidikan melalui pendekatan pembelajaran yang inovatif dan menyeronokkan. Semoga usaha seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyemai minat pelajar terhadap matematik serta melahirkan generasi yang lebih kreatif, berfikiran kritis dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Matematik bukan sekadar angka, tetapi satu pengembaraan minda yang mencabar, menyeronokkan dan penuh inspirasi.”

 

 

 

 

 

 

 

FCVAC UNISEL MERIAHKAN KARNIVAL SENI & BUDAYA DI SMK SERI KERAMAT

FCVAC UNISEL telah menyertai Pameran Seni sempena Karnival Seni & Budaya di SMK Seri Keramat bagi memperkenalkan program pengajian serta memupuk minat pelajar terhadap bidang seni visual, komunikasi dan pengkomputeran melalui pameran karya kreatif dan perkongsian ilmu.