FCVAC UNISEL JAYAKAN PROGRAM MOTIVASI TRANSFORMASI DIRI KE ARAH KECEMERLANGAN

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera,

Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC), Universiti Selangor (UNISEL) telah menganjurkan Program Motivasi Transformasi Diri ke Arah Kecemerlangan dengan kerjasama SMK Tuanku Abdul Rahman, Batu Arang, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan pembangunan sahsiah dan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar sekolah.

Program yang disertai oleh 120 orang murid Tingkatan 5 ini bertujuan memberi suntikan motivasi serta membimbing para pelajar dalam membina keyakinan diri, mengamalkan teknik pembelajaran yang lebih berkesan dan merancang hala tuju pendidikan selepas menduduki peperiksaan SPM.

Antara pengisian utama program termasuk sesi Teknik Keyakinan Diri, Strategi Belajar Berkesan, Aktiviti Energizer serta perkongsian mengenai Hala Tuju Selepas SPM. Kesemua aktiviti dirangka bagi meningkatkan motivasi, semangat dan kesediaan pelajar untuk menghadapi cabaran akademik serta merancang masa depan dengan lebih yakin.

Sesi motivasi telah disampaikan oleh Dr. Saibah Siregar dari UNISEL yang berjaya menyampaikan perkongsian secara inspiratif, interaktif dan penuh semangat. Turut hadir mewakili FCVAC ialah Puan Khairil Bariyyah Hassan dan Puan Rahayu Handan, yang bersama-sama menjayakan program serta memberikan sokongan kepada para peserta.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen FCVAC UNISEL dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui jalinan kerjasama strategik bersama institusi pendidikan. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik, membina sahsiah yang unggul dan melakar kejayaan pada masa hadapan.

 

 

 

FCVAC UNISEL MERIAHKAN KARNIVAL SENI & BUDAYA DI SMK SERI KERAMAT

FCVAC UNISEL telah menyertai Pameran Seni sempena Karnival Seni & Budaya di SMK Seri Keramat bagi memperkenalkan program pengajian serta memupuk minat pelajar terhadap bidang seni visual, komunikasi dan pengkomputeran melalui pameran karya kreatif dan perkongsian ilmu.