MAJLIS ANUGERAH APRESIASI PELAJAR, MAJLIS PENYERAHAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) DAN MAJLIS HARI RAYA FCVAC 2026

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera,

ANUGERAH APRESIASI PELAJAR & MAJLIS HARI RAYA FCVAC 2026 MERIAH DENGAN PELBAGAI PENGISIAN

Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC), Universiti Selangor bakal menganjurkan Anugerah Apresiasi Pelajar & Majlis Hari Raya FCVAC 2026 pada 23 April 2026 (Khamis) bertempat di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya, UNISEL, bermula jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

Majlis ini bukan sahaja bertujuan menghargai kecemerlangan pelajar, malah turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan warga fakulti dan industri.

Acara akan dimulakan dengan ketibaan pelajar dan sesi pendaftaran seawal jam 8.30 pagi, diikuti ketibaan pengurusan fakulti. Majlis rasmi akan dibuka pada jam 9.15 pagi dengan kata aluan, bacaan doa serta nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor dan lagu UNISEL.

Seterusnya, hadirin akan mendengar ucapan daripada Dekan FCVAC sebelum disajikan dengan tayangan montaj yang memaparkan pencapaian dan aktiviti pelajar sepanjang tahun. Kemuncak acara bermula dengan sesi penyerahan Anugerah Dekan mengikut jabatan iaitu Jabatan Komunikasi, Jabatan Seni Visual dan Jabatan Pengkomputeran sebagai tanda penghargaan kepada pelajar cemerlang.

Majlis turut diserikan dengan persembahan live band yang menambah kemeriahan suasana, di samping kehadiran pengurusan universiti serta jemputan VVIP dari pihak industri. Satu lagi momen penting adalah penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) kepada rakan industri iaitu Valet Nexaguard Sdn Bhd, Dive Buddy dan Prestige Media, sebagai langkah memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara akademia dan industri.

Ucapan penutup oleh Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor akan menandakan penghujung acara rasmi sebelum diteruskan dengan tayangan “reels” pelajar serta jamuan Hari Raya yang penuh kemesraan. Majlis akan diakhiri dengan persembahan penutup, sesi fotografi dan bersurai pada jam 2.00 petang.

Selaras dengan tema “Multidisciplinary Excellence: Advancing Technology”, program ini mencerminkan komitmen FCVAC dalam melahirkan graduan holistik, kreatif dan berdaya saing, di samping meraikan kejayaan dalam suasana penuh keberkatan Syawal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

FCVAC UNISEL MERIAHKAN KARNIVAL SENI & BUDAYA DI SMK SERI KERAMAT

FCVAC UNISEL telah menyertai Pameran Seni sempena Karnival Seni & Budaya di SMK Seri Keramat bagi memperkenalkan program pengajian serta memupuk minat pelajar terhadap bidang seni visual, komunikasi dan pengkomputeran melalui pameran karya kreatif dan perkongsian ilmu.